
Kenyataan 'pedas' Mahathir sejak pilihan raya umum ke-12
19-05-2008 04:29:01 PM
22 Mac: Ahli-ahli parti tidak boleh percaya kepada satu individu sahaja dengan memberikan kuasa yang begitu besar sehinggakan seorang ahli yang menegur Presiden akan didakwa tidak menghormati ketua.
22 Mac: Mencadangkan supaya majlis penasihat presiden itu dianggotai profesional dan ahli UMNO berwibawa tetapi bukan yang dilantik oleh UMNO bahagian supaya dapat berfungsi secara bebas.
28 Mac: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno sewajarnya dipertandingkan jika ada ahli parti yang mahukan perubahan."Ya, kalau ada perasaan ahli-ahli supaya ada perubahan. Kehendak ahli mesti dilayan.Kita tak boleh ketepikan kehendak ahli-ahli dan tidak memberi peluang kepada mereka dengan tidak mengadakan pemilihan dan sebagainya. Itu salah."
30 Mac: "Pada masa dulu, sistem kuota itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin parti yang benar-benar ingin bertanding dan untuk mendapat pencalonan dari 60 bahagian bagi bertanding jawatan presiden adalah mudah.
"Tahun 2004 menyaksikan ia disalahgunakan di mana bekas Naib Presiden Umno yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang ingin bertanding untuk jawatan presiden Umno hanya mendapat satu pencalonan sahaja itupun dari bahagiannya sendiri."
30 Mac: "Tidak ada kebebasan di dalam UMNO sekarang dan sebab itu sistem kuota perlu dimansuhkan kerana mereka berpendapat melawan Presiden merupakan satu penghinaan.
"Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Tengku Razaleigh mendapat pencalonan daripada 60 Bahagian UMNO dengan mudah dan mereka bebas untuk berkempen di seluruh negara untuk menghentam saya."
01 April: Sudah berubah fikiran dan tidak lagi berpendapat Datuk Seri Najib Razak adalah calon paling layak mengambil alih jawatan Perdana Menteri akan datang.
01 April: Umno perlu dipulihkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, terutama orang Melayu terhadap perjuangannya dan Abdullah, katanya, perlu faham mesej daripada rakyat yang mahukan beliau mengundur diri.
06 April: "Saya tidak ada niat hendak menjadi Presiden Umno, sekali lagi atau Perdana Menteri untuk kali kedua, tetapi sebagai anggota Umno dan sebagai rakyat Malaysia saya berhak bersuara."
06 April: "Saya akan berhenti, Saya akan berhenti (daripada bercakap). Secara jujur saya akan berhenti jika mereka akan berhenti melakukan apa yang salah yang telah menyebabkan Umno mempamerkan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini."
7 Mei: Meminta BN mengambil serius tentang kemungkinan pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat. "Saya fikir ini ada kemungkinan (pertukaran kerajaan) yang tidak boleh kita abaikan."
15 Mei: Sudah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan mengenai isu-isu semasa. "Najib sudah jumpa saya ... dia (Abdullah) tidak halang. Selepas saya tegur kata Abdullah tak bagi, dia pula kata tidak menghalang, lepas itu, baru saya jumpa dengan Najib."
17 Mei: Sedia disiasat dan didakwa di mahkamah berikutan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Datuk V. K. Lingam. "Saya nak cerita berkenaan hakim yang melobi saya dan kalau melobi ini adalah satu perkara yang salah, maka hakim ini juga patut disiasat.”
17 Mei: Mengibaratkan UMNO sebagai magnet yang mampu menarik parti-parti komponen lain untuk memperkukuhkan BN."Berdasarkan pengamatan saya, UMNO yang lemah tidak mungkin dapat menubuh serta memimpin sebuah kerajaan yang berwibawa. Ini kerana UMNO merupakan sebuah parti yang menunjangi pemerintahan negara di bawah naungan BN."
Mutakhir
Dr. M keahlian 'O1' keluar Umno
19-05-2008 05:17:56 PM
(Dikemas kini) PETALING JAYA: Selepas melemparkan kecaman bertubi-tubi terhadap kepimpinan Umno sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada Umno.
Beliau mengumumkan keputusan 'mengejutkan' itu ketika berucap pada majlis bertajuk Kedudukan Orang Melayu Pascapilihan Raya Umum Ke-12 di Alor Star, Kedah pada pukul 12.35 tengah hari tadi.
Dalam ucapannya, Dr. Mahathir yang mempunyai nombor keadlian '01' dalam Umno juga menyeru ahli akar umbi supaya keluar parti bagi memberikan tekanan kepada pucuk kepimpinan - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya berundur.
Dr. Mahathir yang juga ahli Umno seumur hidup memberitahu, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.
Ketika beliau mengumumkan keputusan itu, Abdullah menghadiri Kongres Dunia Mengenai Teknologi Maklumat (WCIT) Ke-16 di Kuala Lumpur.
Dr. Mahathir berkata, beliau akan berada di luar parti selagi Abdullah masih memimpin Umno dan hanya akan kembali jika Abdullah berundur.
Kata beliau, surat mengenai keputusannya akan dihantar kepada Ibu Pejabat Umno dalam waktu terdekat.
Dr. Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang kedua mengumumkan keluar Umno. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah keluar parti apabila Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 ekoran krisis Umno 1987-88. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar juga pernah bertindak demikian.
Dr. Mahathir pernah dipecat pada 1969 selepas beliau menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman mengkritik kepimpinannya ekoran pilihan raya umum tahun itu dan Peristiwa 13 Mei.
Beliau diterima semula ke dalam Umno pada 1972 ketika kepimpinan Tun Abdul Razak.
Keputusan itu dumumkan seminggu selepas Dr. Mahathir mengadakan pertemuan tertutup dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.
Menurut laporan Bernama, Dr. Mahathir dengan wajah kecewa berkata, beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.
Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.
"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.
"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," kata beliau.
Dalam pada itu, ketika dihubungi, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib berkata: "Ia (keputusan itu) adalah hak Dr. Mahathir. Setiap ahli ada hak untuk masuk dan keluar parti."
Ketika ditanya sama ada beliau terkejut dengan tindakan Dr. Mahathir, Muhammad berkata: "Ya, secara peribadi saya terkejut kerana beliau merupakan tokoh terulung parti dan seorang bekas Perdana Menterii."
Sama ada Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu ini, Muhammad menjelaskan, "kita tunggu dulu perkembangan."
Majlis Tertinggi (MT) akan mengadakan mesyuarat dalam masa dua minggu ini.
Pemilihan pucuk kepimpinan dijadual pada Disember ini.
Dr. Mahathir yang menyertai Umno pada 1946 dipilih sebagai Presiden Umno pada tahun 1981.
Beliau berundur daripada kedudukan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Oktober 2003 selepas mengumumkan untuk berbuat demikian pada Perhimpunan Agung Umno 2002.
Sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, beliau mengkritik kepimpinan parti atas persembahan tidak memuaskan Umno dan Barisan Nasional termasuk menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.
Beberapa pihak pernah mengesyorkan supaya Dr. Mahathir dikenakan tindakan disiplin apabila terus-menerus mengkritik kepimpinan parti sejak awal tahun 2005.
Ku Li kekal Umno untuk cabar Pak Lah
Analisis: Terkejut lagi mengelirukan
Sanusi Junid ikut jejak Dr M keluar Umno.
Perjalanan politik Dr. Mahathir
Terkejut, tidak percaya, reaksi awal Dr M keluar Umno
Kenyataan Mahathir sejak pilihan raya umum ke-12
Sanusi Junid ikut jejak Dr M keluar Umno.
19-05-2008 04:06:02 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS
PETALING JAYA: Veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid turut mengikut jejak Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno.
"Saya akan buat kenyataan lengkap saya sendiri nanti. Buat masa ini, cukuplah kalau saya katakan saya juga sudah keluar Umno," katanya kepada mStar.
Sanusi yang merupakan antara pengikut setia Dr Mahathir dan bekas setiausaha agung Umno ketika krisis parti 1988 enggan memberikan ulasan lanjut.
No comments:
Post a Comment