Bernama.com
--------------------------------------------------------------------------------
Am 18 Mei, 2008 15:03 PM
Warga Emas Terpaksa Tangguh Hasrat Bernikah Kali Keempat
KUALA TERENGGANU, 18 Mei (Bernama) -- Hasrat seorang warga emas Mohamed Nor Awang, 57, untuk bernikah dengan bakal isteri keempatnya pada hari Jumaat ini terpaksa ditangguhkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shaikh Ahmad Ismail tidak berpuas hati dengan afidavit tambahan yang dikemukakan olehnya, Ahad.
Hakim Syaikh Ahmad mengambil keputusan untuk menangguhkan keputusan perbicaraan kes permohonan poligami Mohamed Nor untuk bernikah kali keempat pada 5 Jun ini, bagi memberikannya peluang mengemukakan saksi untuk menyokong keterangan bahawa dia mempunyai kemampuan kewangan dan diri untuk berbuat demikian.
Sebelum itu, Mohamed Nor ketika membacakan afidavit tambahannya memberitahu mahkamah bahawa dia berkemampuan daripada segi kewangan untuk berkahwin seorang lagi walaupun dalam sebutan kes sebelum ini dia memberitahu mempunyai pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.
Ini kerana, katanya, dia yang bekerja sebagai pemandu lori turut mempunyai pendapatan lain sebanyak RM2,000 lagi hasil kerja sambilan mengambil upah mengangkut getah beku dan membaiki kenderaan menjadikan pendapatan yang diperoleh sebulan ialah sebanyak RM3,500 sebulan.
Malah, katanya, isteri pertamanya Wan Rukiah Mat Yusof, 52, turut mempunyai pendapatan hasil kebun kelapa sawit seluas 0.8 hektar, manakala isteri ketiga Noraini Daud, 40, mempunyai kebun getah seluas 2.4 hektar. "Saya juga telah menyediakan sebidang tanah, sebuah rumah dan sebuah motosikal dengan wang sebanyak RM700 untuk ketiga-tiga isteri saya bagi perbelanjaan dan kemudahan untuk mereka menghantar serta mengambil anak-anak dari sekolah," katanya.
Mohamed Nor berkata 10 daripada 18 anaknya masih bersekolah, iaitu hasil perkahwinan dengan ketiga-tiga isteri termasuk isteri keduanya Kalthom Dollah, 39.
Mahkamah Tinggi Syariah pada Khamis lepas, mengarahkan Mohamed Nor untuk mengemukakan afidavit tambahan bagi menyokong permohonannya berpoligami walaupun ketiga-tiga isterinya memberi kebenaran untuk berbuat demikian tanpa syarat.
Bagaimanpun Mohamed Nor gagal menjawab pertanyaan Hakim Shaikh Ahmad ketika ditanya mengenai kemampuan dan keperluan dirinya untuk berkahwin lagi.
"Mahkamah bukan payah nak beri kebenaran untuk berpoligami, tetapi biarlah ada asas yang kukuh. Kemampuan bukan daripada segi kewangan sahaja tetapi juga kemampuan diri.
"Encik Mohamed Nor cuba terangkan daripada segi keperluan diri mengapa hendak berkahwin lagi sedangkan dalam keterangan sebelum ini ketiga-tiga mereka masih sihat dan mampu melayan keperluan Encik Mohamed Nor. Malah mereka juga masih boleh melahirkan anak," katanya.
Beliau berkata poligami boleh menjadi haram apabila seseorang itu tidak yakin akan mampu berlaku adil kerana kemiskinan, kekurangan keupayaan diri serta prejudis terhadap isteri.
Mohamed Nor kemudian memberitahu mahkamah bahawa kerana yakin dapat berlaku adil maka dia ingin berkahwin lagi selain mampu untuk menyara keluarga dan boleh menyatukan isteri-isterinya.
"Kalau setakat ini Yang Arif saya betul-betul mampu untuk berpoligami, tetapi kalau nak cerita betul-betul saya tak pandai. Lagipun bakal isteri saya suka pada saya dan kami juga telah bertunang," katanya.
Hakim Syaikh Ahmad meminta Mohamed Nor membawa saksi untuk menyokong keterangan itu selain dokumen tentang pendapatan tambahan yang diperolehnya.
-- BERNAMA
NAK BUAT MAKSIAT SENANG...TAK DA SAPA NAK SIBUK DAN LARANG
NAK RAMAIKAN UMAT NABI MUHAMMAD SUSAH DAN BANYAK HALANGAN....
INILAH DUNIA AKHIR ZAMAN....
MENTALITI PEJABAT AGAMA....
YANG DIBENCI OLEH RAMAI ORANG ISLAM....
MOHON ZAHID HAMIDI DAN DR ASRI AMBIL PERHATIAN.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment