Saturday, July 26, 2008

mengenang buniyamin

Buniyamin meninggal sakit buah pinggang
KOTA BHARU 13 Feb. - Bekas ahli Parlimen Bachok, Buniyamin @ Yamin Yaakob meninggal dunia akibat sakit buah pinggang di Hospital Kota Bharu (HKB) di sini hari ini.

Buniyamin, 56, yang juga Pegawai Penerangan Pas Kelantan meninggal dunia pada pukul 6 pagi selepas dimasukkan ke wad 10 hospital tersebut sejak dua minggu lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh ketika dihubungi berkata, Allahyarham sering ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan sejak tahun lalu.

Menurut beliau, turut berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ialah isteri keduanya, Noor Hayati Ibrahim.

Katanya, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keting, Gunong, Bachok.

Allahyarham menjadi anggota Parlimen Bachok selama dua penggal iaitu pada tahun 1990 dan 1995.

Allahyarham meninggalkan dua balu iaitu isteri pertama, Sunduyah Omar Salleh, 52, dan Noor Hayati, 36, serta lapan orang anak.

Semasa hayatnya, Buniyamin pernah terbabit dalam kontroversi menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menonton video lucah bersama cucunya tahun lalu dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui di kediamannya menyifatkan pemergian Buniyamin sebagai satu kehilangan kepada perjuangan pergerakan Islam di negara ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang ikhlas dalam perjuangan, kuat membaca, bergerak atas ilmu dan tidak pernah `merintih' di atas segala kesusahan yang dihadapinya.

``Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan isteri-isterinya,'' katanya.



Buniyamin Yaakub meninggal dunia


KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Buniyamin Yaakub, 56, meninggal dunia di Hospital Kota Bharu (HKB) di sini pagi semalam, selepas beberapa tahun menghidap sakit buah pinggang.

Buniyamin, 56, yang juga Pegawai Penerangan Pas Kelantan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi, di sisi isteri keduanya, Norhayati Ibrahim, 36, selepas dimasukkan ke Wad 10 hospital berkenaan sejak dua minggu lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh, berkata Allahyarham sering keluar masuk HKB bagi mendapatkan rawatan sejak kebelakangan ini.

"Kali terakhir Allahyarham dimasukkan ke HKB ialah kira-kira dua minggu lalu apabila keadaannya dilaporkan bertambah teruk," katanya ketika dihubungi semalam.

Allahyarham, yang menjadi Ahli Parlimen Bachok selama dua penggal pada 1990 dan 1995, pernah terbabit dalam kontroversi apabila menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menonton video lucah bersama cucunya.

Berikutan itu, Allahyarham didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 19 September lalu atas tuduhan memfitnah Dr Mahathir tetapi tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.

Bagaimanapun, perbicaraannya beberapa kali terpaksa ditangguhkan kerana uzur dan kes itu dijadualkan disambung semula 8 hingga 10 April ini.

Isteri pertama Allahyarham, Sunduyah Omar Salleh, 52, berada di rumah mereka di Kampung Keting, kerana sakit sejak hampir 15 tahun lalu.

Jenazah Allahyarham dibawa dari HKB ke kediaman Norhayati di Kampung Dusun Durian, Bukit Marak, dekat sini, jam 8.30 pagi semalam untuk disembahyangkan sebelum dikebumi di Kampung Keting pada jam 1 tengah hari.

Antara yang menziarahi jenazah ialah Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin parti itu.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz, menyifatkan pemergian Buniyamin sebagai kehilangan kepada Pas terutama di Kelantan, berikutan kegigihannya memperjuangkan dasar parti tanpa menghiraukan masalah peribadi yang dihadapi.

"Bagi pihak parti, saya ingin merakamkan takziah kepada kedua-dua balu dan ahli keluarga Allahyarham atas kehilangan ini.

"Allahyarham adalah pejuang tulen yang tidak pernah merungut mengenai masalahnya, termasuk kemiskinan atau keperitan yang dialami ketika ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dulu.

"Satu lagi perangainya ialah tak kira di mana berada, dia akan sentiasa menelefon saya untuk bertanyakan mengenai ayat tertentu (dalam al-Quran) untuk dijadikan rujukan... itulah kelebihannya yang jarang ada pada orang lain," katanya.Kematian Buniyamin suatu kehilangan besar - MB

Thursday, February 13 @ 16:21:50 MYT


BACHOK, 13 Feb (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kematian bekas anggota Parlimen Bachok, Haji Buniyamin Yaakub sebagai satu kehilangan besar kepada PAS.

Katanya, sukar untuk dicari ganti seorang pemimpin yang begitu ikhlas berjuang mendaulatkan Islam, biar pun terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan.
"Allahyarham pernah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, namun selepas dibebaskan tetap bersama PAS.

"Beliau juga tidak pernah merayu sumbangan daripada parti biar pun berdepan dengan segala kesusahan. Sifat seperti ini adalah sesuatu yang begitu mahal dimiliki Allahyarham," katanya selepas mengimami solat jenazah Buniyamin di Masjid Beris Kubur Besar dekat sini, kira-kira jam 12.15 pagi tadi.

Ribuan pemimpin dan penyokong PAS serta penduduk tempatan hadir menziarahi jenazah Allahyarham.

Antara pemimpin PAS yang kelihatan turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan Pemangku Ketua Dewan Pemuda, Haji Zulkefli Yaakub.

Solat buat kali pertama itu diadakan berhampiran kediaman isteri keduanya, Norhayati Ibrahim. Selepas itu, jenazahnya dibawa pula ke rumah isteri pertamanya, di Kampung Ketil, Gunung menggunakan kenderaan Jenazah Masjid Telipot.

Di rumah isteri pertamanya, sekali lagi jenazahnya disembahyangkan ribuan penduduk tempatan. Allahyarham meninggalkan dua balu dan tujuh anak hasil perkongsian hidup dengan isteri pertamanya.

Jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kecil, selepas solat Zohor.

Menurut Norhayati, petang semalam Menteri Besar menziarahi Allahyarham dan sempat berbual panjang di hospital.

"Ketika itu, Allahyarham masih boleh bangkit dan berbual mesra dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Bagaimanapun awal pagi tadi, Allahyarham mulai sesak nafas dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 pagi," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, keikhlasan Allahyarham berjuang tanpa mengharapkan balasan wang ringgit, adalah sesuatu yang sukar untuk dicari ganti.

Seorang penduduk berkata, selepas menerima berita kematian Buniyamin, Menteri Besar kelihatan sunggul dan sedih sehingga beliau tidak bersempatan menghadiri upacara korban lembu di kediamannya di Pulau Melaka, pagi tadi.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Haji Wan Ismail Wan Jusoh berkata, Allahyarham adalah seorang yang kental dalam perjuangan.

Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Haji Zulkefli Yaakub menyifatkan kematian Ustaz Buniyamin sukar dicari ganti terutamanya sebagai penceramah yang dikenali di seluruh negara.(NY,HM)



Ustaz Buniyamin meninggal dunia

Thursday, February 13 @ 10:28:19 MYT


KOTA BHARU, 13 Feb (Hrkh) - Penceramah PAS yang juga bekas anggota Parlimen Bachok, Haji Buniyamin Yaakub, 57 meninggal dunia di Hospital Kota Bharu selepas terlantar sakit sejak sekian lama.

Beliau menghembus nafas terakhir kira-kira jam 6 pagi tadi. Buniyamin sebelum ini disahkan menghidapi sakit buah pinggang agak kronik dan terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu. Beliau juga menghidapi penyakit kencing manis.

Dilahirkan di sebuah kampung di Bachok pada 26 Mac 1946. Mendapat pendidikan peringkat tinggi di Universiti Cokro Aminoto, Jogjakarta dalam bidang sains politik.

Pernah berkhidmat dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) sebagai Pegawai Penerangan Luar, sebelum terbabit secara aktif dalam parti.

Penglibatan dalam PAS ketika usianya 22 tahun dengan nombor pendaftaran ahlinya 76507. Jawatan pertamanya dalam parti bermula sebagai anggota Jawatankuasa Pemuda Kawasan Bachok.

Selepas itu karier politiknya semakin menyerlah apabila dipilih sebagai anggota jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat. Pernah juga menyandang jawatan Setiausaha Lajnah Penerangan Perhubungan PAS Kelantan.

Pada 1982 pertama kali terbabit dalam pilihan raya apabila mencuba nasib bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Gua Musang. Bagaimanapun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).

Pada 1990 sekali lagi bertanding dan memenangani kerusi Parlimen Bachok. Beliau memenangi kawasan itu dua penggal berturut-turut.

Sepanjang terbabit dalam karier politiknya pelbagai halangan dan ancaman diterima. Namun, ia tidak pernah melemahkan semangatnya. Pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pada tahun 1984 dibuang daerah dua tahun di Ipoh, Perak.

Bagaimanapun di saat-saat terakhir perjuangannya, beliau masih diseret ke mahkamah dalam keadaan kesihatan sudah uzur dan tidak bermaya.

Beliau dihadap ke Mahkamah Seksyen Kota Bharu berkaitan dakwaan dalam ceramah yang menyebut Dr Mahathir Mohamad menonton video lucah bersama cucunya.

Kes tersebut sudah beberapa kali dibicarakan di hadapan Hakim Azman Abdullah, namun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan menyebabkan kes tersebut ditangguh beberapa kali.

Buniyamin diwakili Karpal Singh dan anaknya. Kes terbabit masih dalam proses pembicaraan sehingga saat-saat akhir hayatnya.

Jenazahnya dibawa pulang ke kampung asalnya di Gunung, Bachok. Pemimpin-pemimpin PAS pelbagai peringkat termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menziarahi jenazahnya.

Pelbagai pihak menyifatkan pemergiaan Buniyamin buat selama-lamanya merupakan satu kehilangan besar dalam perjuangan mendaulatkan Islam di negara ini. (MJ)


MB lakukan ibadat korban 11 Zulhijah

Tuesday, February 11 @ 17:12:56 MYT


KOTA BHARU, 11 Feb (Hrkh) - Suasana sambutan Aidiladha di Kelantan mulai terasa sekarang apabila sebahagian besar sekolah sudah bercuti hari ini dan ibu bapa sedang sibuk membuat persiapan terakhir.

Orang ramai sibuk membuat persiapan untuk menyediakan peralatan bagi menjalani ibadat korban mulai esok sehingga 13 Zulhijah.
Bandar Kota Bharu mengalami kesesakan sejak 8 Febuari lalu. Malah keadaannya bertambah ketara mulai semalam, apabila beberapa jalan utama menerima limpahan kenderaan.

Jalan Mahmood, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Hamzah, Jalan Sultan Yahya, Jalan Kuala Krai, dan kawasan pusat bandar terutamanya berhampiran Pasar Besar Siti Khatijah kesesakan begitu ketara sekali.

Pagi tadi kelihatan banyak bas sewa khas dari luar Kelantan menurunkan penumpang yang pulang untuk berhari raya bersama keluarga.

Sambutan Hari Raya Haji di Kelantan ternyata lebih meriah, apabila kebanyakan ketua keluarga melakukan ibadat korban dan kemudian bergulai dengan menjemput jiran tetangga menikmati jamuan disediakan.

Masjid Telipot dekat Kota Bharu pula menyediakan tiga ekor unta untuk dikorbankan pagi esok. Penduduk tempatan mendaftar dengan Jawatankuasa Masjid Telipot untuk menyertai skim ibadat korban tersebut.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pula akan melakukan ibadat korban lembu pada hari Khamis di kediaman di Pulau Melaka. Esok beliau akan bersembahyang Hari Raya Aidiladha di masjidnya dan mengadakan rumah terbuka selepas itu.

Manakala Sultan Kelantan dijangka melakukan ibadat korban di Tambatan Diraja dan menunaikan solat AidilAdha di Masjid Muhammadi.

Pada 15 Febuari pula akan diadakan sambutan Penghayatan Korban di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah yang dijangka bermula jam 9 pagi. Majlis itu akan turut dihadiri Menteri Besar dan anggota-anggota Exco serta pemimpin masyarakat.(MJ)

No comments: